Kecederaan lama di bahagian belakang masih lagi menjadi kebimbangan utama atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, yang dilihat tiada berkesudahan walaupun sudah menjalani proses pemulihan sebelum ke Sukan Para Asia Indonesia, Oktober lalu.

Kejayaan mempertahankan pingat emas dalam Sukan Para Asia ibarat menutup rasa sakit kecederaan belakang yang dialami Ziyad sejak Februari lalu.

Namun, ia tidak lama apabila kecederaan itu masih membelenggu dirinya dalam sesi latihan selepas satu bulan berehat.

Pastinya situasi sedemikian membimbangkan juara Sukan Paralimpik Rio 2016 itu kerana sudah terlalu lama dia mengalami rasa sakit di bahagian belakang sehingga perancangan latihan ke luar negara juga pernah dibatalkan gara-gara kecederaan itu.

"Kecederaan ini adalah sesuatu yang membantutkan persiapan saya. Saya berharap ia tidak akan membelenggu bagi memastikan kejohanan yang disertai tahun depan berjalan lancar," kata Ziyad.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 itu bakal terbang ke Jerman, Februari depan selama lebih sebulan bagi menjalani latihan intensif sebagai persediaan awal menjelang Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai pada November dalam misi mempertahan gelaran yang dimenanginya tahun ini.

"Berlatih di luar negara membenarkan saya bertemu dengan atlet-atlet bertaraf antarabangsa dan ia membantu saya untuk menanam semangat serta keazaman untuk melakukan yang terbaik," ujarnya.