Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, tetap meneruskan program latihan di Korea Selatan walaupun masih dibayangi kecederaan bahu yang menyaksikan dia lebih banyak menjalani rawatan sejak dua bulan lalu.

Skuad memanah negara berangkat ke Korea untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk.

Ini kerana kalendar Piala Dunia musim depan lebih banyak diadakan dalam cuaca sejuk, sekali gus meningkatkan cabaran untuk skuad kendalian Lee Jae-Hyung.

Ia alasan utama Khairul tetap meneruskan program latihan di Korea walaupun belum pulih daripada kecederaan bahu.

“Kami telah melakukan program rehabilitasi serta latihan ringan untuk bahu saya. Saya baru memulakan latihan memanah selama dua hari dan ini merupakan tumpuan utama kami di Korea nanti,” ujar Khairul Anuar.

Khairul menghuni ranking ke-48 dunia selepas tamat Sukan Olimpik Rio 2016.

Dia terkandas pada pusingan 16 terbaik acara recurve individu selain tersingkir dalam pusingan pertama saingan berpasukan.

Malaysia akan menjalani latihan selama tiga minggu di Korea sebelum menyertai Kejohanan Asia Tenggara di Myanmar, Januari depan.

“Pertama kali kami akan menjalani latihan dalam keadaan cuaca sejuk. Pengalaman di Korea ini akan membantu kami untuk menangani rintangan ketika menghadapi kejohanan nanti.”