Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tempat latihan yang dihadapi pasukan gimnastik Sukan Malaysia (Sukma) Sabah.

Ini berikutan tempat latihan skuad gimnastik itu terletak bersebelahan dengan pusat kuarantin Covid-19 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Ginger Phoong Jin Zhe, berkata beliau telah berjumpa dengan ketua jurulatih, Liew Tong Ee, dan atlet untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

"Saya difahamkan pasukan gimnastik Sukma Sabah mengalami kesukaran kembali ke pusat latihan untuk persediaan Sukma, disebabkan pusat latihan tersebut terletak bersebelahan dengan pusat kuarantin Covid-19 di Kompleks Sukan Likas.

"Saya akan berbincang dengan Lembaga Sukan Sabah dan Majlis Sukan Negeri Sabah untuk mencari penyelesaian terbaik supaya atlet-atlet gimnastik kami dapat kembali menjalani latihan seawal mungkin bagi memastikan prestasi mereka tidak terjejas," katanya dalam satu kiriman Facebook.

Sementara itu, Tong Ee ketika dihubungi hari ini berkata dia berharap pihak KBSS akan dapat mencari penyelesaian terbaik, termasuk menyediakan venue baru untuk mereka kembali berlatih.

"Kami sangat gembira kerana menteri (Jin Zhe) sudi mendengar masalah kami dan beliau begitu prihatin untuk membantu.

"Kami harap akan dapat kembali berlatih secepat mungkin di Likas atau di mana-mana venue baru.

"Atlet-atlet negara dan negeri lain sudah kembali berlatih dan oleh itu, kami juga mahu pastikan atlet negeri ini berada di prestasi terbaik dalam Sukma nanti.

"Pesaing kami dalam Sukma, terutama kategori lelaki, adalah atlet kebangsaan dan oleh sebab itu, kami perlu melatih mereka (atlet Sukma Sabah) sebaik mungkin," katanya.