Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengutamakan pakar sains sukan tempatan sebagai pengganti kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Mohd Khairi Zawi, yang mahu menamatkan kontrak lebih awal 30 November ini.

KBS akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat mengenai keputusan Dr. Khairi meninggalkan ISN.

Dr. Khairi yang mengetuai ISN sejak 2016 memainkan tugas penting, terutama menerusi pelaksanaan Program Podium.

Walaupun tempoh perkhidmatannya cuma dua tahun, namun Dr. Khairi membuktikan pegawai tempatan mampu mengetuai aspek sains sukan menjelang pemburuan pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami secara terbuka memilih yang terbaik. Jika terdapat pakar sains sukan tempatan, kami akan memberikan keutamaan untuk menggantikan Dr. Khairi," kata Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Jika KBS menerima keputusan Dr. Khairi, ini bermakna ISN kehilangan dua pegawai penting dalam tempoh tiga bulan.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham, meletak jawatan September lalu selepas menerima kritikan hebat mengenai kegagalan program termahal negara itu mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia.