KBS umum SOP, tarikh mula buka sektor sukan esok

Oleh Bernama 7 Jun 2020 259
KBS umum SOP, tarikh mula buka sektor sukan esok
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) dan tarikh fasa kedua sektor sukan dan rekreasi untuk beroperasi semula esok.  

Kebenaran beroperasi itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hari ini, yang antara lain memberi lampu hijau dan ruang untuk sektor sukan dan rekreasi dibuka semula dan pematuhan SOP akan ditetapkan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata KBS akan memberikan lebih perincian terhadap keputusan kerajaan itu selepas sidang media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok. 

"Saya percaya ramai penggiat sukan tanah air menyambut baik pengumuman sebentar tadi. 

"Berita gembira ini akan memberi manfaat kepada komuniti sukan dan industri sukan secara umumnya.

"Dengan kelonggaran diberikan ini, apa yang dapat diperkatakan adalah negara sudah bersedia untuk mengembalikan dunia sukan. 

"Pelbagai inisiatif dan cadangan SOP sektor sukan dari negara luar juga diteliti dan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bakal dilaksanakan secara beransur-ansur, dan dengan tanggungjawab bersama semua pihak," katanya. 

Antara yang diumumkan Muhyiddin berkaitan sektor sukan ialah kebenaran untuk latihan persediaan pasukan serta aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan dan aktiviti berkumpulan di luar seperti boling tenpin, badminton, memanah, menembak, berbasikal dan konvoi motosikal.

Namun, sukan renang, ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki termasuk pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai adalah tidak dibenarkan. 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen