Chef de mission (CDM) Sukan Olimpik Remaja 2018, Cheng Chu Sian, meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sejumlah dana untuk mewujudkan program khas menghadapi temasya berikutnya di Senegal selepas Malaysia mencipta sejarah meraih dua pingat emas di Argentina.

Kejayaan Malaysia meraih dua emas di Buenos Aires, Argentina sepatutnya membuka mata KBS. Ini merupakan kali pertama Malaysia mencipta kejayaan di pentas Sukan Olimpik Remaja selepas gagal dalam edisi pertama di Singapura 2010 dan China, empat tahun lalu.

Semua atlet ini berlatih mengikut program pelapis atau senior kebangsaan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Jadi, persiapan lebih tersusun perlu dilakukan untuk mengatasi apa yang berlaku di Argentina.

"Sukan Olimpik Remaja adalah medan persiapan atlet menghadapi kejohanan yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Suka Olimpik. Kami berharap KBS dan MSN dapat menubuhkan program yang lebih awal untuk menghadapi temasya ini," kata Chu Sian.

Malaysia meraih emas menerusi hoki 5s dan pemain perseorangan badminton wanita, Goh Jin Wei.