Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan memastikan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terus berfungsi ketika badan induk ini dilanda kekangan kewangan.

Di sebalik masalah kewangan, YAKEB terus memberi perhatian kepada keperluan bekas atlet negara.

Antaranya rawatan buat bekas pelumba basikal, Ishak Alwi yang menghidap penyakit kencing manis, termasuk kos pembedahan terdahulu.

YAKEB hari ini melakukan kunjungan ke kediaman Ishak bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, untuk menghulurkan sumbangan kepada beliau dan tiga lagi ahli, termasuk bekas pemain hoki wanita negara, Mary Soo, dan jaguh olahraga, S. Sabapathi.

Steven juga mengesahkan KBS sudah meneliti calon pengerusi baru YAKEB bagi menggantikan Azlan Iskandar yang mengosongkan kerusi itu Oktober lalu.

"Saya melihat berdasarkan laporan yang diberikan kepada saya dan ini adalah bukti YAKEB telah menjalankan tugas menjaga kebajikan bekas atlet negara," katanya.