Meskipun program sukan negara menghadapi masalah kewangan, atlet yang mengharumkan nama negara tidak perlu gusar dengan imbuhan yang sudah dijanjikan di bawah peruntukan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Antara langkah yang berupaya membantu meneruskan kelangsungan program sukan kebangsaan seperti Program Podium adalah dengan mengkaji semula nilai SHAKAM.

Beradasarkan imbuhan SHAKAM, pemenang pingat emas di pentas Sukan Komanwel dan Sukan Asia, sama ada atlet normal mahupun para, berhak menerima RM80,000.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan kesamarataan di antara atlet normal dan para akan dikekalkan.

"Apa yang kami cuba lakukan kini adalah menarik sebanyak mungkin tajaan. Itu yang kami sedang berusaha keras melakukannya.

"Bermula tahun depan, kami akan menganjurkan beberapa acara yang menarik bagi mendapatkan seberapa banyak tajaan untuk program para.

"Kalau dilihat kembali, atlet para kita sememangnya luar biasa. Impak yang diberikan mereka sememangnya lebih besar, bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi minat yang ditunjukkan masyarakat kepada mereka," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi bayangan mereka akan memainkan peranan peniting dalam masa depan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Isnin lalu, Jawatankuasa Pemantau NFDP mencadangkan agar tanggungjawab utama NFDP diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya ingin menegaskan, walau di mana sahaja, pembangunan bola sepak kekal menjadi tanggungjawab persatuan. Jadi, FAM tidak boleh dipinggirkan dalam hal ini.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan KBS dan saya rasakan pihak kementerian akan mengumumkan struktur yang terbaik untuk bola sepak negara," katanya.