Satu lagi sejarah tersendiri akan dicipta skuad ragbi negara apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan cadangan untuk penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue Kejohanan Perdana Asia 2018, Mei nanti.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, selepas pihaknya meneliti cadangan yang dikemukakan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Secara keseluruhan, KBS berpuas hati dengan perancangan yang dilakukan KRM dan Khairy yakin kemudahan yang ada di Stadium Nasional menepati kriteria yang ditetapkan Kesatuan Ragbi Dunia.

Malah, tiada masalah dijangkakan membabitkan jenis padang sedia ada di stadium berkenaan kerana ia sesuai untuk sukan ragbi.

"Banyak stadium di seluruh dunia boleh mengadakan perlawanan ragbi dan bola sepak. Kami telah pun mengkaji dan mendapati tiada masalah untuk menggunakan Stadium Nasional.

"KRM perlu memenuhi segala syarat Kesatuan Ragbi Dunia tetapi daripada kelengkapan sebagai tuan rumah, kita tidak mempunyai masalah untuk mengadakannya di Bukit Jalil," katanya selepas menghadiri majlis makan malam Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun yang memasuki edisi ke-44 di Shah Alam, malam tadi.

Skuad ragbi 15 sepasukan negara akan menghadapi tugasan penting tahun depan, iaitu saingan Perdana Asia yang turut membabitkan Hong Kong dan Korea Selatan.

Turun dengan status selaku juara Divisyen Satu, skuad kendalian Lee Nyuk Fah itu bakal berentap untuk memburu slot play-off kelayakan ke Piala Dunia 2019 di Jepun.