Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menentukan garisan panduan untuk atlet kembali menjalani latihan selepas kerajaan membenarkan aktiviti riadah dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP), Isnin depan.

Kelonggaran aktiviti riadah dilakukan mengikut SOP dilihat sebagai petanda positif untuk arena sukan negara.

Ia membuka lebih banyak ruang untuk atlet berlatih walaupun masih belum mendapat lampu hijau untuk kembali ke pusat latihan masing-masing.

Buat masa ini, KBS mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi atlet berdasarkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Selaras dengan apa yang telah disebut, ia juga diguna pakai untuk latihan atlet. Saya juga telah meminta MSN dan ISN untuk menyediakan garis panduan yang lebih seragam dan boleh difahami mengikut kesesuaian atlet dan jurulatih sukan, di mana sukan dapat dikembangkan," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Selain itu, dalam usaha mendapat maklum balas mengenai pelan mengadakan kem latihan berpusat membabitkan atlet program Road To Tokyo, KBS juga akan mengadakan persidangan video dengan wakil persatuan sukan kebangsaan, Isnin depan.

"Kami telah dijemput oleh Menteri Belia dan Sukan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa Road To Tokyo yang akan diadakan pada jam 11 pagi, Isnin depan. Daripada situ, KBS dan menteri akan melihat keperluan persatuan sukan yang terlibat dengan Road To Tokyo bagi mempercepatkan proses latihan. Ia juga akan digunakan KBS untuk dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," ujar Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria.

"Apabila dibenarkan semula untuk berlatih, saya berasa seronoklah sebab sudah lama tidak beraksi. Kemudian, jika dapat bermula semula dalam bulan puasa ini, kami akan cuba sesuaikan diri dengan tetapan daripada jurulatih," tambah atlet pelayaran wanita negara, Juni Karimah Noor Jamali.