KBS bakal perkenal projek perintis buat atlet

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 82
KBS bakal perkenal projek perintis buat atlet
Kementerian Belia dan Sukan (KBS), akan memperkenalkan satu projek perintis yang bukan sahaja memberikan perlindungan kesihatan kepada atlet kebangsaan, malah membuka peluang pekerjaan buat mereka dalam sektor swasta.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, dalam lawatannya ke Akademi Badminton Malaysia, petang tadi.

Pihaknya sedang berunding dengan beberapa syarikat swasta untuk menawarkan  pekerjaan kepada atlet negara bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.

"Karier dalam sukan atau masa depan mereka selepas bersara, itu antara kegusaran utama barisan atlet negara.

"Mereka takut tidak ada jaminan, jadi kami ingin memberikan jaminan supaya apabila mereka turun ke lapangan, mereka tidak perlu risau tentang perkara itu.

"Kerajaan sedia membantu bukan sekadar sewaktu menjadi atlet, namun termasuk masa depan mereka," kata Steven.

Turut sama diperkenalkan adalah Skim Perlindungan Kesihatan kepada barisan atlet negara yang dijangka mengurangkan perbelanjaan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang banyak mengeluarkan dana untuk menampung bil perubatan bekas atlet.

Program itu bagaimanapun masih diperhalusi dan perinciannya akan dibentangkan tahun depan.

"Daripada segi pembiayaan dan kewangan sukan selama ini sememangnya terhad.

"Cabarannya bukan sahaja untuk kerajaan mencari dana tetapi juga untuk persatuan sukan memperluaskan sumber dana mereka, " tambah Steven.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen