Jonathan Nyepa mencipta kejutan apabila menewaskan pemenang emas Sukan SEA 2019, Mohd Haiqal Hanafi, dalam final 100m Karnival Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil hari ini.

Pelari kelahiran Sarawak itu melakukan catatan 10.60 saat -- 0.05s di depan Haiqal sementara juara dalam pembikinan, Mohd Azeem Mohd Fahmi, memungut gangsa dengan 10.94s.

"Saingan tadi memang bagus.

"Ada ramai pelari terbaik yang menyertai pertandingan ini, kami saling memberi saingan hebat.

"Masih banyak yang perlu diperbaiki jadi saya berikirar untuk buat yang lebih bagus pada masa akan datang," katanya.

Dalam acara lompat jauh pula, pemegang rekod kebangsaan, Andre Anura Anuar, meraih perak walaupun terpaksa menarik diri selepas dua percubaan ekoran kecederaan tumit.

Andre melakukan lompatan sejauh 7.68 meter untuk diketepikan rakan sepelatih, Luqman Hakim Ramlan, yang melakukan 7.85m bagi memperbaharui catatan peribadi terbaiknya.





KARNIVAL SUKAN MAJLIS SUKAN NEGARA 2020

Posted by Majlis Sukan Negara Malaysia on Friday, December 11, 2020



Sementara itu, atlet baling tukul besi, Grace Wong, kecewa apabila catatan 62.61 meter yang dilakukannya hari ini tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan.

Ujian simulasi olahraga itu dilengkapi peralatan elektronik tetapi hanya dua atlet menyertainya.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), setiap acara perlu disertai sekurang-kurangnya tiga atlet untuk catatan mereka diiktiraf.

Ini kali kedua dalam tempoh 40 hari Grace mengatasi rekod kebangsaan miliknya sejauh 60.99 meter yang dilakukan pada 2017.

Bulan lalu, pemenang pingat perak Sukan SEA 2019 itu melakukan 62.69m dalam aksi simulasi pertama.