Seramai 1,375 pesilat mula berkampung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus sejak kelmarin bagi merebut kejuaraan Karnival Silat Kebangsaan Piala Menteri Besar Terengganu.

Menurut Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam kejohanan itu, antaranya remaja dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Turut menguji kehebatan adalah pertarungan negeri-negeri dalam kategori Sukan Malaysia (Sukma) yang menjadi gelanggang pemanas badan sebelum temasya di Johor tahun depan.

Wan Sukairi berkata jumlah penyertaan itu jauh melepasi jangkaan penganjur dan Terengganu berhasrat menjadikan Karnival Silat Kebangsaan sebagai acara tahunan.

"Kami juga bersedia bekerjasama untuk menjadi tuan rumah silat nusantara, Asia atau dunia," jelasnya selepas merasmikan kejohanan tersebut malam tadi.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, dan Timbalan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

"Pesilat-pesilat yang berpotensi akan dibawa masuk ke kem kebangsaan sejajar dengan cadangan membawa pemenang Sukma ke Sukan Sea di Vietnam (2021).

"PESAKA sentiasa bersikap terbuka dan barisan pesilat negara perlu kekal mantap untuk menjuarai kejohanan selepas ini," ujar Md Sohaimi.