Datuk Karim Ibrahim terkejut apabila tidak dicabar untuk jawatan presiden selepas tarikh tutup pemilihan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi penggal 2016-2018 yang dijadualkan pada 19 November ini.

Ini bermakna Karim kekal menerajui KOM untuk penggal kedua berturut-turut.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang diamanahkan sebagai pihak berkecuali, mengumumkan Karim mendapat 12 pencalonan daripada ahli gabungan untuk kekal sebagai presiden KOM.

"Bagi jawatan presiden, terdapat hanya satu nama yang dicalonkan, iaitu Datuk Karim Ibrahim.

"Bagi jawatan timbalan presiden, seorang calon sahaja dinamakan, iaitu Datuk S.M Muthu," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo.

Kejayaan Karim mengekalkan jawatan itu dilihat berpunca daripada peningkatan prestasi skuad pecut negara dengan kemunculan beberapa pelari hebat Sekolah Sukan Bandar Penawar yang diketuai Khairul Hafiz Jantan.

Ia juga cabaran buat olahraga untuk mengatasi pencapaian tiga pingat emas yang diraih di Sukan SEA Singapura tahun lalu, dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

"Saya pun terkejut kerana tiada siapa lagi yang dicalonkan. Mereka dengan ini bersetuju dengan apa yang dijalankan (KOM) selama ini.

"Mereka tidak menamakan calon lain untuk bertanding, maka saya akan bekerjasama dengan persatuan negeri dan agensi-agensi yang sentiasa memberi sokongan kepada olahraga."

Jawatan naib presiden mencuri tumpuan apabila empat calon lelaki yang terdiri daripada Datuk Noorul Ariffin, Datuk Tham Siew Khai, M. Iyaru dan Datuk R. Anamalai bagi merebut tiga jawatan.

Sementara itu, satu kerusi wanita menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Rajemah Sheikh Ahmad dan Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaffar.