Pemain ping pong negara, Karen Lyne, bertekad untuk meningkatkan prestasi tahun ini apabila gagal mencapai sasaran pingat dalam Sukan SEA 2019.

Dalam saingan di Filipina bulan lalu, dia turun beraksi selaku sandaran pingat dalam acara beregu wanita tetapi gagal mencapai sasaran selepas terkandas dalam suku akhir.

Mengakui dia gagal menterjemahkan persembahan terbaik di Manila, Karen berharap tahun 2020 mampu memberikan tuah buatnya.

"Sekarang saya sedang menunggu perancangan daripada pihak persatuan untuk tahun ini. Dalam Sukan SEA lalu, memang ia bukan prestasi terbaik saya. Kekalahan sudah dapat dirasai apabila melihat kepada teknik yang saya pamerkan dalam perlawanan. Saya kena perbaikinya," katanya.

"Untuk tahun ini, saya sedang menantikan saingan Junior SEA & Kadet sambil berharap dapat bergelar juara dalam acara perseorangan."



Editor: Nafis Abdullah