Pasukan karate Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila menjuarai Kejohanan Karate Terbuka Sandakan Edisi Kedua, baru-baru ini.

Dalam kejohanan dua hari yang berlangsung di Dewan Sejati Walk itu, PDRM Sabah membolot 13 pingat emas, tujuh perak dan 13 gangsa, sekali gus mengatasi 19 pasukan lain yang bertanding.

Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat PDRM Sabah selepas turut muncul juara dalam edisi pertama pada 2015.

Sementara itu, Persatuan Karate Sabah (SKA) Telupid muncul naib juara dengan lapan emas, 11 perak dan 13 gangsa.

Tempat ketiga menjadi milik Dahai Karate Club, yang meraih lapan emas, lapan perak dan 15 gangsa.

Dalam edisi kali ini, PDRM Sabah dibarisi 22 anak-anak warga polis Sabah dan 18 anggota PDRM yang terpilih manakala pengurus pasukannya ialah Inspektor Hasryman Osman.