Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) belum menerima sebarang keputusan sama ada saingan kelayakan Sukan Olimpik di Paris Mei depan akan berlangsung seperti yang dijadualkan atau sebaliknya dan badan induk itu tekad memastikan barisan atlet selalu berada dalam keadaan bersedia.

Penularan wabak Covid-19 telah merencatkan persiapan barisan atlet dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo apabila kebanyakan kejohanan kompetitif terpaksa ditunda.

Namun, status saingan kelayakan Tokyo 2020 karate di Paris masih menjadi tanda tanya apabila MAKAF belum menerima sebarang keputusan daripada Persekutuan Karate Dunia (WKF).

"Kami masih belum mendapatkan maklum balas daripada WKF, kami menjangkakan saingan kelayakan tersebut tetap dijalankan di Paris," kata Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Dua atlet karate negara, R. Shamendran dan S. Prem Kumar menjadi tumpuan ketika ini dalam melayakkan diri ke Tokyo selepas harapan Malaysia, Syakilla Salni Jefry Krisnan gagal memberi komitmen menurunkan berat badannya.

Azmi turut menjelaskan mereka mengambil iktibar daripada masalah tersebut selain tidak akan hanya menumpukan perhatian kepada seorang atlet sahaja.

"Perancangan kami tidak menjadi kerana hanya fokus kepada seorang atlet. MAKAF ketika ini memberikan tumpuan kepada lima atau enam atlet bagi memburu slot ke Sukan Olimpik."