Atlet karate-do negara, R. Sharmendran, mewakili suara atlet-atlet elit yang mengharapkan ada sinar buat mereka untuk kembali berlatih menjelang pembentangan prosedur latihan yang membabitkan atlet program kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Sharmendran antara yang mengharapkan sinar agar atlet elit sepertinya mampu kembali berlatih selepas dua bulan terperap di rumah.

Ia situasi yang sukar memandangkan dia turut menyimpan hasrat untuk merebut tiket membuat penampilan sulung dan mungkin terakhir dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Dia dan skuad kebangsaan sempat menjalani latihan di Latvia, namun terpaksa pulang gara-gara penularan wabak novel koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia.




"Saya sudah mencecah umur 28 tahun, saya tidak tahu adakah masih akan beraksi dalam tempoh empat tahun lagi, bagi saya ini adalah peluang terakhir.

"Lagipun edisi selepas ini karate tidak dipertandingkan, ini mungkin yang pertama dan terakhir ia dianjurkan.

"Oleh itu, saya perlu terapkan disiplin tinggi, menjaga keselamatan dan berwaspada," katanya kepada wakil Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka akan mengumumkan prosedur latihan buat atlet-atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) dalam usaha memberi ruang buat mereka mengadakan persiapan awal sempena menghadapi temasya di Jepun itu pada tahun depan.

"Kami sering bersentuhan kerana melakukan asakan sebab itu perlu berhati-hati."