Drama dalam Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) memasuki episod baru apabila presiden badan induk itu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, meletakkan jawatannya semalam.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa peletakan jawatan itu mempunyai unsur-unsur yang meragukan.

Megat D Shahriman menunaikan janjinya untuk melepaskan jawatan itu melalui satu kenyataan yang dikeluarkannya.

Susulan itu, Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong, tampil dengan dakwaan bahawa terdapat unsur-unsur meragukan dalam kenyataan yang dikeluarkan bekas presiden itu.

"Sebenarnya, kenyataan media yang dikeluarkan olehnya itu ada banyak percanggahan.

"Kalau kita melihat kepada perenggan kedua, dia berkata bahawa dia telah mengeluarkan beratus ribu ringgit, termasuk dalam menampung Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Putrajaya.

"Sebagai rekod, kami tidak menganjurkan kejohanan itu.

"Saya tidak tahu di mana kejohanan itu diadakan.

"Jadi, saya mahu menekankan dan memperbetulkan pembohongan itu.

"Sejak pemilihan pertama di Putrajaya dan pemilihan kedua di Teluk Bahang, wang yang dikeluarkan itu semuanya daripada saya.

"Dia tidak pernah keluarkan satu sen pun," katanya.

Dalam pada itu, Michael juga menjelaskan bahawa kos latihan atlet dan jurulatih sejak Sukan SEA Filipina tahun lalu dibiaya oleh dirinya dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Sejak daripada pemilihan ke Sukan SEA dan latihan di China, ada dua perkara.

"Yang pertama adalah kos jurulatih yang ditanggung sepenuhnya oleh saya dan penaja yang dicari oleh saya.

"Yang kedua adalah tentang latihan pusat di China yang ditampung oleh MSN sebanyak RM100,000," tambahnya.

Dalam pada itu, MSN menerusi Pengarah Bahagian Persediaan Atlet, Jefri Ngadirin, turut mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan Michael.

"Kalau mengenai persediaan atlet untuk ke Sukan SEA memang kami ada memberikan bantuan.

"Jumlah peruntukan yang kami salurkan itu lebih kurang bernilai RM100,000," katanya.