Kami memerlukan lebih ramai jurulatih -- Zhuliang

Oleh Staff Writer 5 Disember 2016 668
Kami memerlukan lebih ramai jurulatih -- Zhuliang
Ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, mengesyorkan China sebagai lubuk untuk mencari pengendali tambahan selepas Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bercadang untuk melantik tiga hingga lima jurulatih baru bagi menghadapi musim 2017.
 
Zhuliang gembira apabila ASUM menunjukkan keprihatinan terhadap jadual padat musim depan membabitkan kejohanan berstatus Grand Prix, Piala Dunia, Siri Dunia, Kejohanan Dunia serta Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
 
Beberapa jurulatih baru akan dilantik untuk mengendalikan pusat latihan satelit seperti di Pulau Pinang dan Terengganu, begitu juga skuad kebangsaan.
 
“Kami memerlukan lebih ramai jurulatih. Sukan terjun di Malaysia terlalu kecil dan tidak ramai pelapis yang berkualiti. Kami memerlukan lebih lagi jurulatih dalam pasukan kebangsaan.

"Apabila ada sesuatu kejohanan, akan ada jurulatih ke pertandingan tersebut dan sebahagian lagi tinggal di Malaysia untuk meneruskan sesi latihan di sini," kata Zhuliang.
 
China adalah jaguh dalam acara ini, malah mendominasi Sukan Olimpik Rio 2016 dengan memenangi tujuh daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan.
 
Zhuliang ketika ini dibantu oleh dua jurulatih China, Huang Qiang dan Zhao Wei, dalam skuad kebangsaan.

Mereka akan menggalas tugas besar musim depan selepas meraih pingat perak Olimpik Rio dalam acara 10m platform terjun seirama wanita.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen