Penganjur Le Tour de Langkawi (LTDL) 2017 sedia berdepan dengan kemungkinan pemotongan peruntukan untuk menganjurkan perlumbaan itu.

Susulan pembentangan Bajet 2017 Oktober lalu, sebahagian besar peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), akan terarah kepada penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur.

Mengakui merasai tempias daripada situasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2017, Emir Abdul Jalal, tidak menafikan bakal menerima geran yang berkurangan daripada KBS.

Untuk rekod, perlumbaan tahun ini menyaksikan penganjur menerima geran berjumlah RM11 juta daripada KBS, manakala baki RM4.5 juta diraih menerusi tajaan.

"Kesemua acara terpaksa dikurangkan perbelanjaan dan pihak kami juga akan berdepan dengan situasi yang sama.

"Bagaimanapun, kami telah bermesyuarat dengan KBS pada minggu lepas dan kami telah bersedia dengan sebarang pengurangan peruntukan dan juga acara," jelasnya.

Emir turut mengesahkan tarikh perlumbaan LTDL 2017 akan kekal seperti yang dijadualkan, iaitu 22 Februari sehingga 1 Mac, membabitkan lapan peringkat secara keseluruhan.

Hanya laluan masih belum dapat dipastika, kerana ia berdasarkan kepada jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan bertaraf 'Hors Class 2.0' itu.

Mengulas mengenai maklum balas pasukan bagi saingan itu, Emir memberi bayangan akan mengehadkan jumlah kuota pasukan Asia, untuk menarik lebih banyak penyertaan pasukan bertaraf benua profesional.

"Pemilihan pasukan serta kem akan dilakukan pada bulan hadapan dan pihak kami akan mengeluarkan jadual pada hujung bulan ini.

"Kami belum mendapat jawapan sama ada mereka (pasukan bertaraf benua profesional) akan bertanding atau tidak setakat ini," tambah Emir yang ditemui di Majlis Pengumuman Perlumbaan Pulau Indah 180 di Bukit Jelutong, hari ini.

Perlumbaan yang akan berlangsung pada 17 Januari 2017 itu mensasarkan penyertaan hampir 1,200 pelumba selain memperkenalkan acara berpasukan.