Kapten skuad bola jaring negara, Syafazliana Mohd Ali, tidak kisah siapa pun individu yang akan mengisi kekosongan jurulatih negara setelah Tracey Robinson dan Aminah Shaari sudah tidak lagi bersama skuad kebangsaan.

Khidmat Robinson dan Aminah tamat setelah berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Robinson sudah pulang ke Australia manakala Aminah pula berehat dan mahu menumpukan kepada program pembangunan bola jaring di Johor.

Mereka berjaya melatih pasukan sehingga meraih pingat emas dengan mengatasi seteru jiran, Singapura, dalam perlawanan akhir.

Kini, dengan ketiadaan jurulatih, skuad negara tiada perancangan rapi walaupun ada satu lagi kejohanan penting untuk dihadapi, iaitu Piala Negara-Negara di Singapura, bulan depan.

"Itu memang hakikatnya, jurulatih Aminah akan ke pasukan negeri dan Tracey akan pulang ke Australia semula.

"Kami sebagai pemain negara, tidak kira siapa pun jurulatih selepas ini, seperti biasa kami akan menghormatinya. Kami akan mengikut tunjuk ajarnya," katanya.

Untuk rekod, Malaysia pernah meraih tempat ketiga dalam kejohanan itu pada 2014.

Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dijangka akan mengadakan mesyuarat dan akan mengumumkan jurulatih baru bagi skuad negara pada 10 November ini.

"Dalam setiap kejohanan, memang kami akan risau dengan prestasi pemain. Tetapi, kami akan dikumpulkan semula untuk berlatih terutama dalam aspek taktikal.

"Sekarang ini, kami lebih tumpukan kepada senaman aerobik," katanya.