Ketua jurulatih Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam Urus Setia Belia dan Sukan (MPKB-BRI UBeS FC), Kamaruddin Mohammad, yakin pemainnya mampu memberikan aksi terbaik dalam usaha mencari kemenangan pertama di gelanggang sendiri menentang Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF) FC, dalam saingan Liga FAM, malam ini.

Kamaruddin, yang juga bekas penolong jurulatih The Red Warriors (TRW) musim lepas, mengakui keyakinan itu menjadi satu ujian yang sukar memandangkan lawan sedang mendahului carta liga dengan rekod tanpa kalah.

“Di atas kertas, memang MOF FC dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan malam ini. Tambahan pula, mereka kini gah mendahului kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan.

“Namun, dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh terjadi. Saya yakin pemain akan berjuang bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan pertama di stadium keramat ini,” katanya.

Ditanya mengenai kelebihan yang dimiliki oleh skuad kendalian S. Balachandran yang dibarisi pemain berpengalaman, Kamaruddin akur dengan hakikat itu tetapi menyifatkan semangat berpasukan lebih diutamakan dalam bola sepak.

“Biarpun MOF FC memiliki ramai pemain ‘bintang’ dan berpengalaman, itu tidak bermakna kami akan mudah mengaku kalah.

“Insya-Allah, saya percaya dengan kebolehan pemain yang bakal diturunkan dan mereka akan beraksi dengan strategi yang telah dilakarkan,” katanya.

Minggu lepas, MPKB BRI UBeS FC menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk berkongsi mata dengan mengikat KDMM FC 2-2.