Pemenang pingat emas acara memanah Sukan SEA 2017, Mohd Juwaidi Mazuki, meminta Majlis Sukan Negara (MSN) agar tidak mengabaikan skuad compound selepas acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Compound menyumbang tiga emas dalam temasya Kuala Lumpur 2017, namun kegembiraan itu hanya seketika apabila acara mereka tidak dipertandingkan dalam temasya besar tahun depan dan mungkin berdepan nasib sama menjelang Sukan SEA Filipina 2019.

MSN tiada pilihan kecuali merehatkan program skuad compound, sekaligus memaksa pemanah negara meninggalkan Bukit Jalil.

Mereka sudah kembali ke kampung halaman dan bagi Juwaidi, Zulfadli Ruslan dan Lee Kin Lip, tumpuan ketika ini adalah menguruskan perniagaan di Melaka sementara pemanah lain seperti Fatin Nurfatehah Mat Salleh menyambung pelajaran di institutusi pengajian tinggi (IPT).

"Bukan lebih kepada program, cuma kami masih lagi dihantar ke pertandingan di peringkat antarabangsa untuk mengetahui sejauh mana prestasi dan tahap saingan kerana mungkin tidak akan dipertandingkan dalam Sukan Asia," katanya.

"Perkara ini sedikit menjejaskan pasukan compound negara daripada segi latihan atau kehidupan sendiri. Mungkin kami perlu bekerja untuk meneruskan kehidupan harian," kata Zulfadli.

Walaupun tidak dipertandingkan dalam temasya besar, namun acara compound masih berdepan cabaran Grand Prix Asia dan Dunia, sekaligus menjadi alasan kukuh untuk mereka kembali ke Bukit Jalil.