Tidak ditawarkan kontrak baru untuk tahun 2020 tidak mematahkan semangat pemanah compound negara, Juwaidi Mazuki, untuk mengekalkan prestasinya di tahap tertinggi agar sentiasa bersedia menyertai sebarang kejohanan.

Skuad compound negara antara yang paling terjejas selepas lapan atlet sukan itu tidak ditawarkan sambungan kontrak oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah Program Podium 2020.

Juwaidi mengakui dia bingung dengan hala tuju pada awalnya apabila mendapat berita tidak disambungkan kontrak tetapi kini mengharapkan Persatuan Memanah Malaysia mampu menggariskan rancangan untuk skuad compound untuk kembali bangkit di peringkat antarabangsa.

"Saya akan pastikan prestasi kekal di tahap profesional agar membuktikan tidak mudah orang melepaskan kami," katanya.

"Saya ada rasa seperti tiada hala tuju. Kebiasaannya saya sudah tahu perancangan tetapi kini tidak."

Setakat ini, hanya pasukan memanah recurve lelaki yang kekal dalam Program Podium.