Bekas pelumba basikal era 70-an, Jusof Udin, menerima bantuan untuk meringankan bebannya menjalani pembedahan jantung selepas empat bulan menghidap penyakit itu.

Pemenang hatrik pingat perak Sukan SEA pada 1977, 1979 dan 1981 itu hanya menyedari penyakitnya sejak Februari lalu dan bakal menjalani pembedahan jam 3 petang ini.

Sebelum ini, bekas pelumba berusia 59 tahun itu mengalami sakit buah pinggang sehingga terpaksa menjalani rawatan dialisis, tiga kali seminggu sejak enam tahun lalu.

Dalam pada itu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah membantu menyegerakan proses pembedahan di Hospital Pantai walaupun pada awalnya bekas atlet itu dijadualkan menjalani rawatan susulan di hospital berbeza, Oktober depan.

"Saya pengsan ketika menjalani dialisis, Februari lalu.

"Memandangkan proses pembedahan itu agak lama lagi, YAKEB telah mencari ikhtiar untuk mempercepatkan proses berkenaan," katanya ketika menerima rawatan, pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majid, meluahkan rasa syukur atas bantuan pihak hospital kepada Jusof selepas YAKEB menghulurkan bantuan sebanyak RM27,000 sejak 2014.

"Beliau juga menerima bantuan sara hidup selama enam bulan, tahun ini, serta surat jaminan sejak beliau menghidap masalah itu," katanya.