Bekas peninju negara, Eddy Kalai, menganggap perancangan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) untuk melantik jurulatih import sebagai batu loncatan buat skuad kebangsaan.

Nasib tidak menyebelahi pengendali negara, Azmi Mohd Yunus, apabila terpaksa meninggalkan anak buahnya ekoran prestasi tidak memberangsangkan dalam Sukan SEA Filipina, Disember lalu selain gagal mencabar tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, Eddy berpandangan perancangan PTAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menukar jurulatih antarabangsa wajar dilakukan dalam memberi nafas baru buat barisan peninju negara.

Menurutnya, jurulatih dari Cuba antara pilihan terbaik buat skuad kebangsaan.

"Cuba terkenal melahirkan barisan jurulatih yang berkualiti, tidak mengira di peringkat amatur atau profesional," katanya.

Meskipun peralihan jurulatih memerlukan tempoh sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan bagi penyesuaian teknik dan kemahiran, Eddy percaya masih ada ruang buat skuad negara menyinar.

"Saya berasakan peninju negara memiliki potensi untuk cemerlang di peringkat yang lebih tinggi. Saya berpendapat PTAM dan MSN boleh mengatur kejohanan lebih kompetitif yang bertaraf AIBA (Persatuan Tinju Antarabangsa) untuk mempertingkatkan kualiti serta pengalaman peninju negara."



Editor: Ammar Hakim