Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, mendedahkan seorang calon dari Australia akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan ketua jurulatih skuad terjun, Yang Zhuliang, selepas pengendali dari China itu tamat kontrak 31 Disember ini.

Zhuliang didakwa tidak mahu menggunakan kaedah sains sukan dalam program latihannya meskipun sudah menunjukkan keputusan positif sepanjang membimbing skuad terjun negara sejak 2001.

Sehubungan itu, pihak ASUM dan Institut Sukan Negara (ISN) pernah duduk semeja bersama Zhuliang bagi mencari penyelesaian terbaik tetapi tiada kata putus daripada jurulatih berusia 53 tahun itu.

Mae berkata ASUM kini sudah pun mempunyai calon baru yang sesuai untuk menyandang jawatan itu, namun enggan mendedahkannya kerana ia masih dalam perbincangan.

"Program Podium mempunyai calon untuk menggantikannya. Dia akan datang pada bulan depan.

"Ketika Podium ditubuhkan, dia mengatakan dia mahu memberikan yang terbaik dalam segala-galanya yang mungkin kepada atlet. Jadi, dia boleh meningkatkan prestasi dan sains sukan adalah sebahagian daripadanya," katanya.

Selepas 31 Disember ini, jawatan ketua jurulatih akan dipangku sementara oleh pembantu Zhuliang, Zhang Yukun.

Dalam pada itu, Mae juga menjelaskan situasi berkenaan diterima baik barisan atlet dalam skuad kebangsaan meskipun rata-rata mereka sudah lama berlatih di bawah kendalian Zhuliang.

"Saya berjumpa atlet dua hari lalu. Saya berikan taklimat mengenai rancangan kami. Mereka dilihat dapat menerimanya. Mereka tidak sabar dengan perubahan itu dan suasana latihan baru,"
katanya.

Berrikut adalah perbandingan pencapaian skuad terjun di antara Malaysia dan Australia. Ia mungkin tidak adil buat Malaysia memandangkan Australia sudah memiliki kepakaran dalam sukan sejak sekian
lama tetapi statistik ini boleh membantu menilai kredibiliti jurulatih terjun yang bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Zhuliang.

Malaysia

• Satu emas & empat gangsa Kejohanan Dunia
• Satu perak & satu gangsa Sukan Olimpik
• Dua emas, lima perak & tiga gangsa Sukan Komanwel

Australia

• Tiga emas, tujuh perak & sembilan gangsa Kejohanan Dunia
• Tiga emas, tiga perak & tujuh gangsa Sukan Olimpik
• 37 emas, 39 perak & 34 gangsa Sukan Komanwel