Jurulatih bola jaring terpaksa berulang-alik lebih 300km seminggu

Oleh Staff Writer 2 November 2016 123
Jurulatih bola jaring terpaksa berulang-alik lebih 300km seminggu
Jurulatih bola jaring negara, Aminah Asaari, sanggup berulang-alik lebih 300 kilometer setiap minggu semata-mata untuk mempersiapkan satu pasukan yang mantap bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Aminah berkata dia masih menunggu pelepasan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk menjadi jurulatih bola jaring sepenuh masa.

Bagaimanapun, demi tanggungjawab negara, guru sekolah itu sanggup berulang-alik setiap minggu dari Johor ke Kuala Lumpur bagi memantau perkembangan anak buahnya.

“Pemain-pemain semua telah memulakan latihan seperti biasa ketika saya hadir dalam sesi latihan. Kami lebih menerapkan latihan dari segi kemahiran,” katanya.

Aminah menjelaskan dia turut mempunyai misi peribadi untuk dilunaskan dalam temasya dwi-tahunan itu.

Katanya, berbekalkan kejayaan Malaysia yang menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia di Bangkok Ogos lalu, skuad negara diharap mampu memecah dominasi Singapura.

“Setakat ini, kami memiliki 20 pemain untuk dipilih sehingga Mac sebelum menyenaraikan 12 pemain sahaja bagi menghadapi Sukan SEA nanti.”

Singapura adalah antara kuasa kuat di rantau Asia Tenggara dalam sukan bola jaring.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen