Jun Hoong pilih 'jalan selamat' jalani latihan

Oleh Bernama 17 Jun 2020 96
Jun Hoong pilih 'jalan selamat' jalani latihan
Seminggu selepas menyertai kem latihan Road to Tokyo (RTT) di Bukit Jalil, bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong tidak mahu terburu-buru melakukan latihan penuh.

Penerjun berusia 30 tahun itu lebih memilih kaedah selamat dengan memulakan latihan asas selepas tiga bulan tidak melakukan aktiviti kolam, susulan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa ini, beliau lebih menumpukan kepada latihan kecergasan serta kekuatan untuk meningkatkan otot dan stamina.

“Saya tidak boleh terus melakukan terjunan daripada platform, itu akan meletakkan saya dalam risiko mencederakan diri sendiri,” kata Jun Hoong, yang pernah mengalami kecederaan beberapa tahun lepas, termasuk menjalani pembedahan lutut pada Jun 2018.

“Buat masa ini, hanya latihan kekuatan dan teknik asas dalam kolam dahulu selain daripada rehabilitasi. Jurulatih (Yang Zhuliang) menasihati saya supaya tidak terlalu teruja, tapi teruskan kemajuan. 

“Setakat ini tiada kejohanan dijadualkan tahun ini, jadi fokus utama adalah untuk meningkatkan diri sendiri dan mengawal kecederaan. Saya tidak mungkin pulih sepenuhnya daripada kecederaan, tapi berharap dapat bertahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jun Hoong,  menjalani latihan secara berasingan daripada atlet terjun lain, bersama bekas jurulatih kebangsaan Zhuliang di Pusat Akuatik Nasional, di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk proses pemulihan kecederaan.

Atlet kelahiran Ipoh mencipta sejarah menjadi atlet terjun wanita pertama meraih gelaran juara dunia dalam acara 10m platform individu di Budapest pada 2017, setahun selepas memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama.

Perjalanan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang komunikasi itu memburu slot ke Olimpik Tokyo terhenti apabila kejohanan kelayakan dan temasya sukan terbesar dunia itu ditangguhkan ke tahun depan berikutan bimbang penularan wabak COVID-19.

Ditanya mengenai kem latihan RTT yang dijalankan secara kuarantin, Jun Hoong berkata beliau gembira dengan langkah yang diambil oleh MSN sekali gus membolehkan atlet elit kembali menjalani latihan.

“Saya sudah biasa dengan situasi ini kerana melaluinya semasa kem latihan di luar negara (di China) apabila kami tidak boleh keluar. Saya faham sepenuhnya MSN tidak mahu mengambil risiko, pada masa sama kami masih boleh berhubung dengan ahli keluarga melalui panggilan video.

“Saya harap ancaman wabak ini akan segera berakhir, supaya kita semua boleh kembali kepada kehidupan normal dan boleh menyertai kejohanan dan bersiap sedia untuk Olimpik. Masa ini, kita perlu menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen