Jun Hoong optimis tamatkan penantian skuad terjun

Oleh Staff Writer 15 Julai 2018 181
Jun Hoong optimis tamatkan penantian skuad terjun
Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong kini menggalas misi untuk menamatkan kemarau pingat emas skuad terjun negara sejak acara itu dipertandingkan dalam Sukan Asia 1951 di New Delhi, India.

Gandingan negara itu menghuni ranking kedua dalam carta Siri Dunia sambil gelaran juara dunia dipegang oleh Jun Hoong.

Namun, peluang terbaik Malaysia untuk meraih emas adalah dalam acara 10 meter platform terjun seirama wanita dan ketika ini, Jun Hoong dan Pandelela hanya sedikit ketinggalan di belakang wakil China yang akan turun selaku pilihan utama untuk mempertahankan emas acara itu sejak 2002.

"Bagi saya,  pasukan yang paling kuat dalam acara terjun ketika ini adalah China dan sekarang Korea Utara juga telah berkembang. Walaupun mereka lebih muda, mereka  tetap menampilkan aksi konsisten.

"Saya cuba untuk memberikan persembahan terbaik dengan konsisten," katanya.

Pencapaian terbaik skuad terjun negara adalah pada 2010 di Guangzhou, China dengan kutipan empat perak dan lima gangsa.

Sememangnya sukar untuk menggugat dominasi China yang membolot kesemua pingat emas bagi acara terjun sejak 1974 tetapi tidak mustahil kejutan mampu dilakukan oleh penerjun negara.

"Saya akan cuba memperbaiki kesilapan-kesilapan kecil yang sering dilakukan. Daripada perkara kecil itu, ia akan menjadi masalah yang besar," ujar penerjun lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman.

"Peluang lebih terarah kepada acara 10m berpasangan tetapi ketika Sukan Komanwel, saya turut mengambil bahagian dalam acara 3m, berpasangan dengan Nur Dhabitah Sabri dan pada waktu itu, kami meraih pingat gangsa. Jadi, mungkin peluang tetap ada," tambah penerjun wanita kebangsaan, Leong Mun Yee.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen