Jun Hoong kekal tumpu acara terjun seirama

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2017 145
 Jun Hoong kekal tumpu acara terjun seirama
Juara dunia, Cheong Jun Hoong, merancang fokus dalam acara terjun 10 meter platform seirama pada musim depan selepas kecederaan pinggang berpanjangan menjejaskan peluangnya dalam saingan individu. 

Gelaran juara dunia bukan jaminan untuk Jun Hoong terus kekal dalam acara 10m platform individu. 

Dia mengalami kecederaan pinggang berpanjangan dan secara tidak langsung terpaksa merombak perancangan menghadapi musim 2018, bermula Februari depan. 

Penerjun kelahiran Perak itu mengambil keputusan untuk fokus terhadap 10m platform terjun seirama kerana ia peluang lebih baik untuknya meraih pingat dalam saingan Grand Prix (GP), Siri Dunia, Sukan Komanwel atau Sukan Asia tahun depan.

"Sepanjang tahun ini, saya hanya menumpukan acara 10m platform terjun seirama. Ketika muncul juara dunia (individu) pula, saya hanya mengambil bahagian pada saat-saat akhir. 

"Mungkin saya akan memberi tumpuan kepada acara berpasangan terlebih dahulu pada tahun depan kerana kesemua penerjun wanita negara juga berkemampuan untuk bersaing dalam acara individu mahupun seirama," katanya yang bergelar juara dunia apabila menjuarai 10m platform individu di Budapest, Hungary, Julai lalu. 

Dia menamatkan gemilang tahun ini dengan meraih satu emas Sukan SEA 2017.

Namun, Jun Hoong sekadar menduduki tangga ke-44 dunia di belakang Nur Dhabitah Sabri dan Kimberly Bong. 

"Bagi penerjun, kami menyasarkan kejohanan dan tidak begitu kisah dengan ranking dunia," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen