Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, kembali mendapat sentuhan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang, dalam program yang dianggap 'kem latihan rahsia di China' menjelang peluang terakhir memburu tiket Sukan Olimpik Tokyo, April depan.

Jun Hoong sudah sebulan mendapat sentuhan Zhuliang di China, dan hanya bekas juara dunia 2017 itu dibenarkan berlatih dengan jurulatih berkenaan berbanding rakan senegara yang mengikuti kem latihan kebangsaan di Bukit Jalil.

Zhuliang yang ditamatkan kontrak pada 2017, perlu memastikan Jun Hoong berada pada tahap terbaik selepas menjalani pembedahan lutut tahun lalu yang memaksanya berehat selama 18 bulan.

Apa yang penting, Jun Hoong gembira dan menunjukkan perkembangan positif.

"Perkembangan dalam latihan bermula baik dan saya tidak mahu terburu-buru bagi memastikan kecederaan sebelum ini berulang lagi," katanya.

Setakat ini, empat penerjun negara sudah layak ke Tokyo, iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee.

Peluang meraih tiket terakhir ialah menerusi Piala Dunia di Jepun, April depan.

Olimpik Rio 2016 menyaksikan Jun Hoong-Pandelela meraih pingat perak 10 meter platform terjun seirama, sekali gus pencapaian terbaik skuad terjun negara dalam sejarah di temasya itu.