Jun Hoong hormat keputusan Zhuliang

Oleh Staff Writer 6 Julai 2020 623
Jun Hoong hormat keputusan Zhuliang
Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, menghormati keputusan jurulatihnya, Yang Zhuliang, untuk hanya memberikan tumpuan kepada acara individu menjelang pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Februari depan.

"Saya akan mencuba sedaya upaya (untuk layak ke Sukan Olimpik). Jika saya dapat mengembalikan kekuatan dan kecergasan, tiada masalah untuk saya layak.

"Jika saya dapat meneruskan rutin latihan normal, saya hanya perlu buat yang terbaik dalam latihan dan saya fikir ia bukan satu masalah.

"Sekarang, saya perlu memberikan fokus kepada pusingan kelayakan terlebih dahulu sebelum saya memikirkan benda lain," katanya.

Bagaimanapun, bekas juara dunia itu masih berhasrat untuk kembali membentuk gandingan bersama mana-mana penerjun dalam acara 10 meter platform seirama wanita selepas meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

"Saya meletakkan keputusan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia) untuk menentukan siapa pasangan saya dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik. Ia bukan pusingan kelayakan untuk individu tetapi untuk negara," tambahnya.

Sementara itu, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, sedang dipersiapkan untuk menghadapi Piala Dunia Terjun di Tokyo, Jepun, Februari depan.

Ia merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk ke Sukan Olimpik Tokyo dan perkembangan itu memberikan gambaran bahawa gandingan berkenaan akan dikekalkan sehingga temasya itu Julai tahun depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen