Penerjun elit negara, Cheong Jun Hoong, enggan mengambil risiko memperjudikan keadaan dirinya yang masih dibelenggu kecederaan lutut demi mempersiapkan diri bagi mencari slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jun Hoong sudah tersisih selama enam bulan daripada latihan selepas ditimpa kecederaan di kedua-dua lututnya Jun lalu.

Dia masih memerlukan waktu untuk kembali ke pusat akuatik dan tidak bercadang untuk mengambil sebarang risiko yang mampu mengundang kecederaan lama.

Kejohanan Akuatik Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019 bakal menjadi sesi kelayakan pertama ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jun Hoong sendiri tidak pasti sama ada dia mampu untuk pulih dan beraksi dalam kejohanan itu.

"Apa yang penting adalah kesihatan saya.

"Jika ia mengizinkan, saya yakin mampu melangkah lebih jauh.

"Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk kembali beraksi kerana mahu memastikan lutut saya benar-benar pulih," katanya.

Untuk rekod, kecederaan yang dialaminya itu turut menyebabkan Jun Hoong menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

"Jika saya tidak sempat untuk pulih tahun depan, saya masih mempunyai peluang untuk memburu mata kelayakan dalam kejohanan edisi 2020," tambahnya.