Penerjun sensasi negara, Cheong Jun Hoong, tidak menolak lebih selesa untuk kembali berlatih di China bermula tahun depan berbanding di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, juara dunia itu tiada masalah sekiranya Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk terus berlatih di tanah air sahaja selepas ini.

Meskipun kemudahan di Pusat Akuatik Nasional terbukti berada di tahap memuaskan selepas berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu, skuad terjun negara masih belum menetapkan venue kem latihan buat mereka selepas ini.

Jika diberi pilihan, Jun Hoong lebih selesa untuk kekal berlatih di China kerana lebih fokus dan bebas tanpa sebarang gangguan luar.

"Saya mengharapkan sesi latihan dan rawatan juga harus konsisten selain dapat fokus kepada latihan tanpa gangguan," katanya ketika menerima insentif daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bentuk geran mobiliti dan wang tunai berjumlah RM20,700 selepas tampil cemerlang dalam Kejohanan Dunia, Piala Asia dan Sukan SEA.

Penuntut Ijazah Pengajian Komunikasi Massa itu menganggap insentif yang diterima sebagai pembakar semangat untuk meneruskan sesi pembelajaran biarpun sudah beberapa kali menangguhkan semester demi latihan dan kejohanan.

"Saya sangat berterima kasih kerana UPM banyak memberi sumbangan dan sokongan," katanya.

Seramai 52 atlet UPM yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa turut menerima imbuhan dengan RM700 diperuntukkan untuk pemenang emas.