Bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong, berdepan masalah menjelang sesi pemilihan penerjun ke Piala Dunia Tokyo apabila ia mungkin dibatalkan ekoran penularan wabak Koronavirus yang semakin serius.

Sebelum ini, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) merancang untuk mengadakan sesi pemilihan acara 10 meter platform individu wanita bulan depan bagi memilih dua penerjun terbaik ke saingan di Tokyo, April nanti.

Disebabkan pemilihan itu, Jun Hoong kini berada di China di bawah kendalian Yang Zhuliang sebagai persiapan untuk kembali berada di tahap terbaik.

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan, menjelaskan penularan wabak Koronavirus menimbulkan kemelut bagi badan induk itu untuk mengadakan sesi pemilihan dua penerjun yang bakal membawa cabaran negara ke Tokyo.

"Kami belum memilih. Apabila Jun Hoong pulang, dia perlu menjalani proses kuarantin. Ia bergantung kepada Institut Sukan Negara (ISN) serta dia dapat lepas ujian di lapangan terbang. Kami juga perlu kenal pasti juri antarabangsa kerana mereka juga dimaklumkan agar tidak keluar," katanya.

Mae Chan juga menambah, Jun Hoong yang masih berada di China kini berada dalam keadaan baik dan selamat serta latihannya juga berjalan dengan lancar.

"Dia dalam keadaan baik ketika ini kerana kekal di pusat latihan. Saya fikir dia tidak ke mana-mana, hanya mengambil makanan yang dibekalkan, jadi dia masih selamat," tambahnya.