Jun Hoong belum sedia sertai kejohanan tahun ini 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 September 2020 63
Jun Hoong belum sedia sertai kejohanan tahun ini 
Hasrat untuk menyaksikan persaingan di antara bekas juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong, dan Pandelela Rinong berentap dalam kejohanan atas talian, November depan, tidak kesampaian.

Ia susulan keputusan Jun Hoong menarik diri kerana mahu fokus terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Piala Dunia di Jepun, Februari tahun depan, selaku kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

"Ketika ini, apa yang paling penting buat saya ialah tahap fizikal disebabkan sebelum ini banyak menanggung kecederaan. 

"Perlahan-lahan saya mula menuju ke landasan sebenar.

"Saya kini boleh berlatih dengan baik, tidak seperti ketika mula dapat menyambung latihan sebelum ini, berulang kali ditimpa kecederaan yang memerlukan tempoh yang lama untuk sembuh. 

"Kini saya semakin stabil, ketekalan latihan boleh tingkat lagi.

"Sasaran utama ialah merebut tiket kelayakan Sukan Olimpik pada Februari depan.

"Saya tidak kesal kerana amat jelas dengan matlamat utama," katanya.  

Persekutuan Renang Malaysia (PRM) menganjurkan kejohanan atas talian yang bakal disertai beberapa negara lain sebagai pemanas badan pertama sejak Mac lalu.

Namun, ketiadaan Jun Hoong dilihat menjejaskan kemeriahan memandangkan ramai mahu melihat kebangkitan semula penerjun berusia 30 tahun itu selepas mengalami kecederaan lutut pada 2018.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen