Jurulatih poomsae negara, Jin Jun Beom, meminta Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan kedudukannya selepas membantu Chew Wei Yan meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia walaupun beliau tidak mengikat kontrak dengan MSN.

Jun Beom menamatkan kontraknya dengan MSN selepas Sukan Asia Indonesia, awal September lalu.

Sejak itu, gajinya ditanggung Taekwondo Malaysia sehingga mengecap kejayaan di Taiwan, Ahad lalu.

Ini kejayaan terbesar Jun Beom sejak membimbing skuad negara, Mac lalu.

Dia berharap nasibnya akan lebih terbela selepas ini.

"Saya gembira usaha keras kami membuahkan hasil. Jadi, saya berharap dapat mengikat kontrak untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun di Malaysia, terutama menjelang Sukan SEA Filipina tahun depan," katanya.