Teka -teki mengenai jurulatih baru skuad tinju negara berakhir apabila Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mengumumkan badan induk itu memilih pemenang pingat emas Sukan Olimpik daripada Uzbekistan untuk mengemudi skuad negara.

Walaupun belum bersedia mendedahkan nama individu itu, badan induk tersebut yakin terhadap kemampuan dan latar belakangnya sebagai atlet mampu melahirkan pengganti berkaliber seperti Sapok Biki.

"Hari ini kami berbincang dengan PTAM tentang penyusunan cara latihan dan kejohanan.

"Kami juga membincangkan mengenai kehadiran jurulatih luar negara yang prosesnya akan (dimuktamadkan) dalam masa terdekat.

"Kami juga sudah putuskan untuk menjalani latihan bersama atlet luar dari Uzbekistan cuma perlu tunggu kelulusannya," kata Timbalan Presiden PTAM, Iruan Zulkefli, di Bukit Jalil, hari ini.

Mengenai calon pengendali baru itu bagi melonjakkan imej tinju kebangsaan, PTAM menjelaskan individu berkenaan memenuhi kriteria selepas melalui proses tapisan.

"Kami telah berbincang dan siasat, beliau merupakan calon terbaik.

"Kami belum boleh menyebut namanya, kami baru di peringkat meminang tapi kenduri belum pasti," katanya lagi.