Bekas pelumba basikal trek negara, Josiah Ng, bersedia untuk bekerjasama dengan barisan kejurulatihan negara andai khidmatnya diperlukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Josiah berhasrat untuk menabur bakti di Malaysia selepas tidak menyambung kontrak dengan Persatuan Berbasikal Thailand (TCA).

Selama lapan bulan melatih Thailand, pencapaian terbesarnya sudah pasti membantu Jai Angsuthasawit melakar kejutan meraih emas saingan keirin dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos lalu.

Josiah tidak menolak kemungkinan untuk menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan skuad trek negara yang diketuai John Beasley.

Josiah juga telah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh, di samping Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Saya telah membuktikan kebolehan menjadi dalam kalangan jurulatih terbaik," katanya.

Sementara itu, Josiah yakin dengan peluang skuad berbasikal trek negara untuk tampil lebih mencabar dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh keirin, Azizulhasni Awang, kekal menjadi taruhan terbaik bagi memburu pingat selepas meraih gangsa pada edisi 2016 Rio di samping potensi yang dimiliki Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

"Azizulhasni merupakan salah seorang atlet profesional dan kini Malaysia memiliki Shah Firdaus, sama seperti saingan Beijing 2008 ketika saya dan Azizulhasni bersaing dalam Sukan Olimpik. Saya berharap dapat menabur bakti kepada negara."