Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I Jie, terpaksa melupakan sesi latihan buat sementara waktu apabila kini bergelut dengan kecederaan tulang belakang.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 ini mengalami kesakitan tulang belakang berpunca daripada latihan kecergasan yang kerap dilakukan selepas berakhir temasya dwitahunan itu, Ogos lalu.

Dia kini hanya kerap melakukan pemeriksaan susulan daripada doktor di Institut Sukan Negara (ISN) dan dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang latihan berat buat masa ini.

Tiada sebarang pembedahan yang perlu dilakukan dan tempoh masa yang diperlukan untuk pulih hanya bergantung kepada dirinya untuk lebih berhati-hati bagi mengurangkan rasa sakit.

"Ia merupakan kecederaan ringan tetapi saya masih belum berehat dan menjalani latihan ringan bagi mengelak ia semakin berlarutan," katanya.

Berakhir misi besar dalam Sukan SEA pada tahun ini, Joshua kini menetapkan sasaran jangka masa panjang untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sasaran utama adalah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Saya akan cuba memperbaiki kelemahan sebelum ini dan cuba mencapai sasaran yang ditetapkan."