Jurulatih pecut negara, M. Balamurugan, merancang untuk menambah acara 110m berpagar buat anak buahnya, Jonathan Nyepa, selepas beberapa ujian mendapati dia berpotensi menggantikan juara Sukan SEA Kuala Lumpur, Rayzamshah Wan Sofian.

Jonathan ketika ini adalah pelari kedua terpantas negara selepas Khairul Hafiz Jantan, dengan catatan peribadi terbaik 10.28s.

Dia juga membarisi kuartet 100m negara ketika memecah rekod kebangsaan 39.27s untuk meraih tangga keempat dalam Sukan SEA, Ogos lalu.

Menurut Balamurugan, kemampuan Jonathan meyakinkan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menjalankan beberapa ujian dan hasilnya, pelari itu berpotensi melangkah jauh dalam 110m berpagar.

"Saya ada cadangan untuk membawanya ke acara 110m berpagar. Acara itu adalah sasarannya untuk beraksi dalam Sukan SEA 2019. Dia juga bersetuju dengan perkara ini," katanya.

Ketika ini, Jonathan sedang menjalani rawatan kecederaan hamstring yang dialami ketika merangkul emas 100m dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Angkatan Tentera Malaysia, bulan lalu.

Selepas pulih sepenuhnya, dia akan menjalani latihan bersama jurulatih berpagar negara, Ithnin Mahadi, seminggu sekali.

"Saya nampak dia boleh pergi jauh, dan kami kekurangan atlet untuk acara berpagar. Jonathan mempunyai asas dalam acara itu kerana dia pernah terlibat ketika sekolah menengah.

"Saya ada idea untuknya, kini dia hanya perlu belajar teknik," tambah Balamurugan.

Jonathan Nyepa
21 Tahun
Sarawak
Acara: Pecut

Catatan terbaik 2017: 10.28s

Pencapaian Terbaik :
• Perak Terbuka Korea 2017
• Juara Terbuka Malaysia 2016
• Emas Sukan Universiti ASEAN 2016