Juara bertahan acara berpasukan wanita, Johor, akan bertemu Selangor, dalam perlawanan akhir esok, sekaligus mengulangi pertemuan tahun lalu, selepas menewaskan lawan masing-masing dalam separuh akhir Kejohanan Ping Pong Malaysia Ke-53 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam semalam.

Johor, yang mengungguli Kumpulan A turun menentang Sarawak, menyaksikan perseorangan pertama, Ho Ying, menang 11-6, 11-5, 11-6 ke atas Karen Lyne Ak Dick untuk mata pertama pasukannya.

Mata kedua Johor hadir selepas Tee Ai Xin menumpaskan Tay Lynn Jia, 11-2, 11-2, 8-11, 11-9 sebelum Too Ning Ying melengkapkan kemenangan Johor selepas mengatasi Sammi Tay Yuen Ning, 11-8, 11-5, 11-8.

Selangor pula terpaksa berhempas-pulas sebelum menang 3-2 ke atas Kedah untuk mengiringi Johor ke perlawanan akhir.

Lee Rou You memberikan mata pertama Selangor selepas menang mudah 11-1, 11-6, 11-1 ke atas Evon Khek, namun Kedah memenangi perseorangan kedua menerusi pemain veteran negara, Ng Sock Khim, yang mengetepikan cabaran sengit Ting Hie Phin, 6-11, 9-11, 11-7, 11-9, 13-11.

Selangor kembali mendahului apabila perseorangan ketiga, Kuan E Xian, menumbangkan Wendy Ong Chia Yee, 11-6, 9-11, 11-9, 11-4, namun Kedah sekali lagi menyamakan kedudukan selepas Sock Khim menang 9-11, 11-6, 12-10, 11-9 ke atas Rou You.

Perlawanan penentuan menyaksikan Hie Phin memberikan mata kemenangan kepada Selangor selepas menang straight set 11-1, 11-4, 11-3 mengatasi Evon Khek untuk memastikan mereka ke perlawanan akhir.

Juara bertahan berpasukan lelaki, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut melangkah ke perlawanan akhir selepas menang 3-0 ke atas Sarawak.

Menanti mereka dalam final adalah Kuala Lumpur yang mengatasi Selangor 3-1 di peringkat separuh akhir.

Tumpuan sudah tentu terarah kepada pemain veteran negara, Muhd Shakirin Ibrahim, yang beraksi untuk ATM, manakala juara bertahan perseorangan lelaki, Muhd Ashraf Haiqal Rizal, yang mewakili Kuala Lumpur.

Peringkat awal acara beregu campuran, beregu lelaki, beregu wanita, perseorangan lelaki dan perseorangan wanita akan berlangsung hari ini.