Atlet menembak negara, Johnathan Wong, bertekad memberikan aksi terbaiknya dalam tugasan antarabangsa terakhir tahun ini di Kejohanan Air Gun Asia di Iran, 3 hingga 9 Disember depan.

Johnathan terus menjalani latihan sejak pulang dari Sukan Olimpik Rio, yang menyaksikannya bersaing dalam acara 10m air pistol dan 50m air pistol.

Atlet berasal dari Melaka itu turut memberi tumpuan kepada aspek latihan fizikal selain menggandakan usaha untuk melakukan bidikan lebih baik di Iran.

"Masa ini, saya tengah berusaha untuk naikkan balik tahap fizikal. Hari tu rehat selepas pulang dari Rio. Selain, itu saya turut melakukan latihan teknikal.

"Kalau tengok selepas Olimpik pun, saya mampu naikkan lagi keputusan. Ini adalah air pistol, yang mana kegemaran saya.

"Saya harap dapat buat yang terbaik dan sekurang-kurangnya dapat ke final. Itu sasaran saya," katanya.

Fokus utama buat Johnathan pada tahun depan ialah temasya Sukan Sea Kuala Lumpur dan dia dijangka turun sebagai antara atlet pilihan.

Jurulatihnya, Hashim Desa, bagaimanapun, mengakui Jonathan perlu bersedia sepenuhnya untuk berdepan atlet menembak dari Myanmar dan Vietnam yang dijangka menjadi pencabar utama di Sukan Sea.

Hashim juga sudah merangka perancangan pogram buat Jonathan tahun depan.

"Apa-apa pun, kami perlu semak balik adakah ia (kejohanan) bersesuaian dengan tempat dan sebagainya.

"Kalau bersesuaian, kami ada lima atau enam kejohanan sebelum menghadapi Sukan Sea Ogos tahun depan. Insya-Allah," katanya.

Ketika beraksi di Olimpik Rio, pelajar universiti berumur 24 tahun itu memungut 535 mata dalam pusingan kelayakan 50m air pistol, jauh daripada catatan terbaiknya 556 mata, untuk menduduki tangga ke-37 daripada 41 peserta.

Dalam acara 10m air pistol, Johnathan memungut 574 mata untuk menduduki tempat ke-28 dan gagal memadam rekod kebangsaan yang diciptanya dengan 558 mata.