Pelari pecut negara, Zulfiqar Ismail, mengambil keputusan meninggalkan Mohd Poad Kassim selaku jurulatih tetapi menegaskan ia tiada kaitan dengan kes doping yang mengheret jurulatih berprofil tinggi itu.

Zulfiqar mengambil keputusan untuk menyertai program latihan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller, di Bukit Jalil.

Ia tiada kaitan dengan kes doping kerana pelari berusia 21 tahun itu sudah melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), namun Zulfiqar menegaskan Poad adalah jurulatih yang baik dan tidak akan melakukan perkara itu.

"Saya rasa memang dia tidak akan lakukan perkara sebegitu. Sepanjang tempoh saya berlatih dengannya dalam tiga tahun, saya tidak pernah diajar untuk mengambil bahan terlarang. Dia jurulatih yang tegas bagi mengelakkan prestasi atlet merosot," katanya.

"Ketegasannya membolehkan dia melahirkan jaguh pecut dalam Asia Tenggara."

Seorang atlet yang positif bahan terlarang jenis steriod mendakwa mendapat bahan itu daripada seorang jurulatih berprofil tinggi tatkala individu yang dimaksudkan itu adalah Poad, seperti yang dilaporkan akhbar, semalam.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang pengesahan.



Editor: Nafis Abdullah