Selepas memenangi jawatan tanpa bertanding, bekas pemain hoki negara, Jiwa Mohan, yang akan menggalas tanggungjawab selaku timbalan presiden Persatuan Olimpian Malaysia (MOA) bulan ini, menjanjikan taraf pengurusan berbeza dalam misi pemantapan sukan negara.

Jiwa berasa teruja untuk bekerjasama dengan generasi baru dalam menerajui persatuan itu sepanjang tempoh dua tahun ini.

Menurut bekas pemain tengah negara itu, peranan lebih besar melibatkan suara olimpian berpengalaman adalah antara elemen yang akan diterapkannya.

"Pasukan baru ini sudah pasti akan memainkan peranan lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Kerana kami faham peranan kami dan kami perlu meningkatkan sumbangan daripada olimpian terdahulu.

"Apa yang berlaku sebelum ini adalah banyak pengalaman yang dimiliki olimpian negara tidak digunakan dengan berkesan, jadi kami akan mengubahnya," katanya.

Turut menang tanpa bertanding adalah bekas atlet olahraga negara, Noraseela Khalid, yang akan mengisi jawatan presiden MOA.