Perenang negara, Phee Jinq En, merancang untuk kembali ke Malaysia bulan depan di sebalik pelan mendapatkan dana menampung sesi latihan di Amerika Syarikat belum tercapai.

Sebelum ini, perenang berusia 22 tahun itu mengambil keputusan untuk terus berada di Amerika Syarikat meskipun bakal menamatkan pengajian bulan depan selepas empat tahun menetap di sana.

Bagaimanapun, namanya tetap berada dalam senarai program Road To Tokyo (RTT) walaupun temasya Sukan Olimpik ditangguhkan ke 2021 dan atas faktor itu, dia bercadang untuk menjalani latihan di Kuala Lumpur.

Sebaik kembali ke tanah air, Olimpian 2016 itu berpeluang menyertai fasa kedua program latihan RTT di Bukit Jalil.

"Ya, sebenarnya saya merancang untuk menyertai latihan skuad kebangsaan. Saya rasa mereka memiliki program yang dipanggil 'Road To Tokyo'. Saya sedar akan menjalani proses kuarantin untuk beberapa tempoh tetapi selepas ini, saya harap dapat menyertai kem negara," katanya.

"Saya tahu apa yang Jinq En miliki di sana. Kemudahan dan sokongan yang dimiliki lebih besar, jadi dia mempunyai segala yang diperlukan di sana," ujar ketua jurulatih skuad renang negara, Chris Martin.