Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, membangkitkan persoalan mengapa Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak mengusulkan permohonan untuk menganjurkan Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) 2018 sehigga hari ini jika mereka serius mahu menjadi tuan rumah.

"(Ia) telah termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan, jika tidak memohon keizinan atau mendapat kelulusan daripada menteri, ia merupakan satu kesalahan undang-undang.

"Saya tidak menyatakan benda ini adalah menyusahkan, tetapi sebagai menteri, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa sebarang penganjuran di peringkat antarabangsa berjalan dengan lancar, dan juga untuk menjaga nama baik negara sebagai penganjur," ujarnya.

Berhubung isu penggantungan pelumba profesional negara, Zamri Salleh, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan campur tangan meskipun Khairy menganggap hukuman yang dikenakan adalah keterlaluan.

"Kami di KBS berpandangan bahawa penggantungan itu adalah keterlaluan. Bagaimanapun, untuk menghormati kedudukan PKBM sebagai persatuan kebangsaan dalam mengendalikan kes-kes disiplin, saya menyerahkan kepada Pesuruhjaya Sukan untuk berbincang dengan PKBM."