Skuad terjun negara harus bersedia menerima kehadiran atlet muda dari China, Zhang Jiaqi, yang bakal memberi persaingan sengit di pentas antarabangsa pada masa akan datang selepas mempamerkan aksi menakjubkan dalam saingan Grand Prix Kuala Lumpur.

Jiaqi merupakan penerjun yang paling mencuri tumpuan pada hari pertama saingan apabila mempamerkan terjunan memberangsangkan bagi acara 10m platform individu wanita untuk meraih pingat emas.

Menariknya, dia berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, Pandelela Rinong, yang sekadar berada di tempat kedua.

Pada usia 13 tahun, Jiaqi dilihat sebagai permata baru dalam skuad China untuk berada setaraf dengan atlet senior seperti Ren Qian satu hari nanti, apatah lagi dia turut berjaya menewaskan juara Olimpik itu dalam Kejohanan Terjun Kebangsaan China, Mei lalu.

"Saya teruja dapat beraksi dalam kejohanan ini. Saya masih muda, ramai penerjun hebat di sini," katanya.

Saingan GP Kuala Lumpur ini merupakan kejohanan antarabangsa yang ketiganya dan kini dalam misi meraih lebih banyak pengalaman sebelum bersedia untuk Sukan Asia 2018.

"Saya mahu beraksi dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa, terutama Piala Dunia dan Sukan Asia tahun hadapan," ujarnya.

Atlet berusia 13 tahun baru sahaja menyertai skuad terjun China enam bulan lalu, namun sudah memberikan beberapa kejayaan bagi menjadi pencabar utama kepada penerjun negara diketuai Pandelela dan Cheong Jun Hoong.